Sunday, February 13, 2011

Salam Malidurrasul 1432 H


Salam Maulidurrasul 1432 H. Sempena menyambut hari kelahiran Rasulullah SAW, mari sama-sama kita menelusuri kisah kelahiran baginda

Apabila tiba saat Abdullah mahu dikahwinkan, Abdul Mutallib mengahwinkan Abdullah dengan siti Aminah binti Wahab, yang juga daripada keturunan suku Abdul Manaf. Keturunan ayah dan ibu Muhammad adalah daripada Qusai bin Kilab. Kesemua mereka daripada keturunan Ismail. Daripada sudut keturunan pun, Muhammad bin Abdullah adalah orang paling mulia dan paling bangsawan.

Tarbiyah telus dari Allah, mentakdirkan Muhammad lahir tanpa ayah, ayah baginda iaitu Abdullah meninggal dunia ketika Muhammad dalam kandungan ibunya, Siti Aminah.
Sebelum Aminah melahirkan Muhammad, dia bermimpi melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki yang lahir bersama satu cahaya yang memenuhi bumi. Siti Aminah juga melihat dirinya berdoa kepada tuhan “Aku berlindung kepada tuhan yang Esa supaya diselamatkan anak ini daripada semua orang yang dengki.

Tanpa rasa sakit, ibu Nabi Muhammad, Siti Aminah berjaya melahirkan Baginda dengan selamat disaksikan bidan.


Pada malam Aminah melahirkan Muhammad, tiada sebarang tanda pada dirinya yang menunjukkan beliau akan melahirkan anak.



Hal itu menyebabkan beliau menyangka bahawa anaknya lambat lagi dilahirkan.



Bagaimanapun secara tiba-tiba saja pada Subuh hari berkenaan,
Muhammad pun dilahirkan.



Biasanya, bayi yang baru lahir akan menangis tetapi Baginda diam
saja walaupun bidan menepuk tubuhnya beberapa kali.



Baginda kelihatan seolah-olah seperti sedang berfikir dan matanya
bersinar-sinar bagaikan melihat sesuatu.



"Luar biasa sungguh anakmu ini, dia tidak menangis, tetapi matanya kelihatan liar seolah-olah merenung sesuatu di atas," kata bidan kepada Aminah yang terbaring dengan wajah kegembiraan.



Ketika itu Siti Aminah berasa dirinya bagaikan mendapat segunung emas.



"Luar biasa anak ini," ulang bidan, sambil membelek-belek tubuh bayi itu. "Apa yang luar biasa?" tanya Aminah.



Jawab bidan: "Biasanya, bayi lahir terlentang, tetapi dia tertiarap, kepalanya mendongak ke langit, jari-jarinya terangkat-angkat seolah-oleh mengira sesuatu, matanya juga merenung ke langit, seolah-oleh ada benda yang dipandangnya. Macam dia mengerti sesuatu, walaupun baru dilahirkan."



Kisah keganjilan Muhammad diceritakan oleh bidan kepada jirannya yang turut hairan dengan keadaan bayi itu.



Bagaimanapun, sejak Muhammad dilahirkan, keadaan dalam rumah itu berubah berseri dipandang serta menjadi tumpuan ramai. Pada waktu malam, rumah itu kelihatan terang benderang seperti bulan terang walaupun ada kalanya bulan gelap.



Wanita pula amat suka ke rumah Aminah untuk melihat Aminah serta anaknya yang baru lahir seolah-olah ada tarikan tersendiri pada bayi berkenaan sehingga ada yang datang berkali-kali.



Kisah keistimewaan Muhammad tersebar di merata tempat menyebabkan orang semakin ramai datang, malah orang yang tidak mengenali Aminah pun turut datang untuk melihat Muhammad.



"Budak ini bertuah, boleh jadi dia akan menjadi pemimpin besar di masa akan datang. Semua orang sukakan kepadanya," kata seorang tua sambil menepuk-nepuk tubuhnya.



Kelahiran Muhammad memberi cahaya kepada penduduk kota Makkah di mana keadaan di situ tiba-tiba bertukar wajah.



Tanaman yang kurang subur tiba-tiba saja menjadi segar dan subur manakala ternakan yang dulunya kurang biak tiba membiak dengan banyaknya.



NABI Muhammad SAW dilahirkan pada Isnin, Rabiulawal Tahun Gajah. Ia dikatakan pada tahun kedua dan ada pula yang mengatakan pada tahun ketiga. Paling masyhur, sebahagian besar ulama mengatakan pada tahun ke-12.


Isnin adalah hari yang diberkati. Daripada Imam Ahmad bahawa Ibnu Abbas berkata: "Rasulullah dilahirkan pada Isnin, diangkat menjadi Nabi pada Isnin, keluar berhijrah dari Makkah ke Madinah pada Isnin dan mengangkat Hajarul Aswad pada Isnin juga."



Dikatakan bahawa Baginda dilahirkan dalam keadaan yang sudah
dikhatan dan diputuskan ari-arinya.



Pada malam kelahiran Baginda, banyak berlaku perkara aneh dan ganjil. Antaranya banyak berhala bergelimpangan jatuh dari tempatnya dan keluar sinar yang menerangi sampai ke istana di negeri Syam.

Barakah kelahiran insan terulung, tauladan sepanjang zaman. Antara peristiwa yang berlaku lagi pada malam kelahiran baginda ialah bergegarnya Iwan Kisra iaitu istana Raja Farsi, kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sudah disembah oleh Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah padam sebelum ini terpadam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Raja Farsi itu tertimbus
Apabila kisra iaitu Raja Farsi melihat kejadian-kejadian pelik ini, dia menjadi sangat takut, lalu memanggil ahi-ahli nujum dan pendeta-pendetanya yang dapat berhubung dengan jin. Jin-jin sebelum kelahiran nabi Muhammad SAW boleh naik ke langit dan mendengar berita di langit apa yang akan berlaku di dunia. Merekalah yang memberitahu berita-berita ini kepada pendeta-pendeta dan ahli-ahli nujum. Dari sinilah para pendeta dan ahli nujum membuat ramalan mereka.
Firman Allah dalam surah al-Jin ayat ke 9 yang bermaksud “Kami para jin sebelum ini mempunyai tempat untuk mendengar berita di langit, barang siapa yang mencuri mendengar lagi sekarang akan dipanah” Ada pendeta yang memberitahu Kisra, peristiwa ini berlaku kerana kelahiran nabi. Manakala maksud keruntuhan 14 anjung istana Kisra mentaksirkan bahawa kerajaan Farsi akan diperintah oleh hanya 14 orang Kisra lagi, kemudian kerajaan farsi akan runtuh.
Begitulah serba sedikit kisah saat kelahiran Rasulullah SAW, pemimpin terulung, ahklak terpuji…mencintai Baginda Bererti mencintai Pencipta kita..lahirkan rasa cinta kita pada Baginda dengan mengikuti sunnah baginda…memperjuangkan risalah yang dibawa..Ar-Rasul Qudwatuna!

1 comment:

farouq said...

Alhamdulilah..sirah Rasulluah..